SALAM AIDILFITRI...

Hari lebaran ini hendaklah disambut dengan penuh ketaqwaan oleh kita yang bergelar muslim... Kita perlu mengikuti apa yang telah ditunjukkan oleh Rasulullah s.a.w. dalam menikmati hari lebaran ini... Penulisan kali ini adalah penerbitan semula yang ingin dikongsi bersama semoga membawa kita memahami dan melihat beberapa sunnah Rasulullah s.a.w. bersempena hari raya pada kali ini... Semoga Aidilfitri ini ditulis sebagai catatan pahala di sisi Allah s.w.t. bukannya maksiat di sisi-Nya...



1. Bertakbir

Ini merupakan amalan yang disyariatkan oleh agama Allah ini. Amalan bertakbir ini sunat dilakukan pada subuh syawal. Takbir pada hari Aidilfitri bermula ketika terlihatnya hilal (anak bulan) dan berakhir setelah selesainya kemuncak hari raya, iaitu ketika imam selesai berkhutbah.


Firman Allah S.W.T:

"Supaya kamu cukupkan bilangan puasa (sebulan Ramadan), supaya kamu membesarkan Allah (dengan bertakbir) kerana telah memberi petunjuk-Nya kepada kamu dan supaya kamu bersyukur." – Surah al-Baqarah:185.

Tebal

Adalah juga disunnahkan untuk kita bertakbir disepanjang perjalanan dari rumah kita menuju ke masjid untu menunaikan solat Aidilfitri. Menurut Syeikh Muhammad Nasiruddin al-Albani r.h:


"Mengenai syariat bertakbir (pada hari raya Aidilfitri) yang perlu dilakukan oleh kaum muslimin ialah bertakbir dengan suara lantang ketika dalam perjalanan menuju ke tempat solat walaupun kebanyakan umat Islam mula memandang remeh sunnah ini." – RujukKitab Meneladani Rasulullah S.a.w Dalam Berhari Raya, karya Syeikh Ali Hassan bin Ali al-Halabi al-Atsari, ms. 32


Bertakbir dengan cara di atas ini adalah bertujuan untuk menunjukkan syiar-syiar Islam kepada penduduk setempat.


2. Mengucapkan Taqabbalallahu Minna Wa Minka


Kebiasaan masyarakat Islam di Malaysia akan mengucapkan ‘selamat hari raya, maaf zahir & batin’ kepada kenalan, saudara mara, sahabat handai dan jiran tetangga.Walaubagaimanapun, apa yang tepat dengan amalan sunnah al-Salaf al-Saleh ialah mengucapkan ‘Taqabbalallahu Minna Wa Minka’.


Diceritakan oleh al-Hafiz Ibn Hajar al-'Asqalani r.h yang dinukilkan daripada Jubair bin Nufair r.a katanya:


“Apabila para sahabat Rasulullah s.a.w bertemu di hari raya, sebahagian mereka mengucapkan kepada yang lain ‘taqabbalullah minna waminka’ (Semoga Allah menerima amalan kami dan amalanmu).” – Rujuk Fath al-Bari, al-Hafiz Ibn Hajar al-'Asqalani, , jil. 5, ms. 270-271. Menurut beliau hadis ini berstatus hasan.


3. Meneruskan Qiamullail.

Jika sepanjang bulan Ramadan kita telah bersungguh-sungguh menghidupkan malam kita dengan pelbagai ibadah terutamanya solat qiyam Ramadan (solat tarawih), ia seharusnya diteruskan juga pada hari-hari berikutnya dengan mengerjakan solat tahajjud. Saranan ini tidak bermaksud mengkhususkan pada malam Aidilfitri untuk dikerjakan qiamullail. Apa yang cuba ditekankan di sini adalah semangat mengerjakan qiam Ramadan (solat tarawih) haruslah diteruskan dengan mengerjakan qiamullail pada hari-hari berikutnya sesudah bulan Ramadan.



4. Mandi Di Pagi 1 Syawal

Mandi ini disunatkan dilakukan di pagi aidilfitri sebelum menuju ke tempat Solat Sunat Aidil Fitri diadakan. Perkara ini pernah ditanyakan kepada Saidina ‘Ali bin Abi Talib r.a sama ada perlu untuk mandi setiap hari? Jawapannya ialah:


"Tidak harus melakukannya. Namun, mandi yang diharuskan ialah mandi pada hari Jumaat, hari Arafah, hari Aidiladha dan Aidilfitri." - Hadis riwayat Imam Syafie di dalam Musnad al-Syafi’i, jil. 1, ms. 118-119.


5. Menjamah Makanan Sebelum Solat Aidil Fitri

Amalan ini adalah sunnah dan ia dilakukan oleh Rasulullah untuk memperlihatkan ramadhan sudah berakhir dan bermulanya syawal. Kebiasaannya, Rasulullah s.a.w akan memakan kurma dalam jumlah yang ganjil pada pagi hari raya. Anas bin Malik r.a berkata:


“Rasulullah s.a.w tidak akan pergi ke tempat solat pada pagi Aidilfitri sebelum memakan beberapa biji kurma.” Murajja’ bin Raja’ berkata: Ubaidillah menceritakan kepadaku bahawa Anas r.a berkata: Rasulullah s.a.w memakannya dalam jumlah yang ganjil.” - Hadis riwayat al-Bukhari di dalam Sahihnya, no: 953.



6. Memakai Pakaian Yang Cantik-Cantik

Disunatkan untuk kaum muslimin memakai pakaian yang cantik-cantik dan berhias pada hari raya. Kata Imam al-Syafie r.h:


"Aku lebih menyukai seseorang memakai pakaian terbaik yang dimilikinya pada hari-hari raya, iaitu pada hari Jumaat, dua hari raya (Aidiladha dan Aidilfitri) dan tempat diadakan majlis (seperti majlis perkahwinan). Dia hendaklah memakai baju yang bersih dan memakai wangi-wangian." – Rujuk Ringkasan Kitab Al-Umm, Imam al-Syafi’I, jil. 1, ms. 327.


Bagi kaum wanita pula walaupun disunnahkan memakai pakaian yang terbaik, namun mereka hendaklah menghindari dari memakai pakaian yang bercorak-corak serta perhiasan yang berlebih-lebihan sehingga menarik perhatian golongan lelaki. Bagi golongan kanak-kanak pula, Imam Syafie r.h menambah:


"Mengenai golongan kanak-kanak pula, mereka boleh memakai pakaian paling bagus yang dimilikinya, baik lelaki mahupun perempuan dan mereka juga boleh memakai perhiasan emas atau apa sahaja perhiasan." – Rujuk Ringkasan Kitab al-Umm, Imam Syafie, jil. 1, ms. 327.


Semoga kita dapat menuruti sunnah ini dan dapat memilih pakaian yang paling baik, cantik, baru, mahal mengikut kemampuan masing-masing. Disunatkan juga bagi kaum muslimin memakai wangi-wangian tetapi tidak bagi kaum muslimat. Muslimat atau wanita, memakai perhiasan, bertabarruj adalah dilarang sehingga menarik perhatian lelaki. Ini merupakan suatu dosa dan dilarang. Rasulullah bersabda:


"Mana-mana wanita yang memakai wangian lalu dia melintas di hadapan lelaki supaya mereka dapat menghidu kewangiannya, dia adalah penzina." - Hadis riwayat al-Nasaai di dalam Sunannya. no: 5036.


7. Berjalan Kaki Ke Tempat Menunaikan Solat Hari Raya

Umat Islam dianjurkan berjalan kaki menuju ke tempat solat Aidilfitri jika tidak keberatan. Ali bin Abi Thalib r.a:


"Termasuk sunnah, iaitu engkau berjalan kaki menuju ke tempat solat hari raya dan memakan sesuatu sebelum berangkat." - Hadis riwayat al-Tirmizi di dalam Sunannya, no: 487.

Namun begitu bagi yang sesiapa yang perlu menggunakan kenderaan kerana tempat solat terlalu jauh, ia dibolehkan dalam syarak. Tetapi, berjalan kaki menuju ke tempat solat lebih afdal berbanding menaiki kenderaan.



8. Mengikuti Jalan Yang Berbeza Ketika Pergi Dan Kembali Dari Bersolat Sunat Hari Raya

Disunnahkan juga mengikuti jalan yang berbeza ketika pergi dan kembali dari mengerjakan solat hari raya. Jabir bin ‘Abdullah r.a berkata:


"Nabi s.a.w melalui jalan yang berbeza pada hari raya." - Hadis riwayat al-Bukhari di dalam Sahihnya, no: 986.


9. Tempat Perlaksanaan Solat Hari Raya.

Abu Said al-Khudri r.a berkata:


"Pada hari Aidilfitri dan Aidiladha, Rasulullah s.a.w keluar menuju ke musholla. Ketika itu, perkara pertama yang dilakukan oleh baginda ialah mengerjakan solat hari raya (tanpa ada sebarang solat sunat)." - Hadis riwayat al-Bukhari di dalam Sahihnya, no: 956.


10. Mengerjakan Solat Sunat Aidilfitri

Di antara syiar yang palin utama dalam menyambut Aidilfitri adalah perlakasanaan solat Aidilfitri sebanyak 2 rakaat oleh seluruh umat Islam. Ibn Abbas r.a berkata:


"Rasulullah s.a.w telah keluar pada hari raya Aidilfitri kemudian terus mengerjakan solat hari raya sebanyak dua rakaat. Baginda tidak melakukan sebarang solat sebelumnya dan sesudahnya." - Hadis riwayat al-Bukhari di dalam Sahihnya, no: 989.


11. Bergembira Pada Hari Raya Aidilfitri

Rasulullah s.a.w sendiri telah membenarkan penduduk Madinah al-Munawwarah bergembira apabila munculnya hari raya Aidilfitri dan Aidiladha. Anas bin Malik r.a berkata:


"Nabi s.a.w pernah datang ke Madinah sedangkan penduduknya memiliki dua hari raya yang mana mereka bermain-main (bergembira) di masa jahiliah pada kedua-dua hari itu. Lalu baginda berkata: Aku datang kepada kamu semua sedangkan kamu memiliki dua hari (raya) yang menjadi medan permainan kalian pada masa jahiliyyah. Sabdanya lagi: Sesungguhnya Allah telah menggantikan kedua-dua hari itu dengan yang lebih baik, iaitu hari raya Aidiladha dan Aidilfitri.” - Hadis riwayat al-Nasaai di dalam Sunannya, no: 959.



12. Mengerjakan Puasa Sunat Enam Hari Pada Bulan Syawal

Sabda Rasulullah s.a.w:


"Sesiapa yang berpuasa pada bulan Ramadan lalu diiringi dengan puasa enam hari di bulan Syawal, seolah-olah dia telah berpuasa setahun." - Hadis riwayat Muslim di dalam Sahihnya, no: 1164.


Rujukan:

Tulisan Ust Mohd Yakub Bin Mohd Yunus

---------------------------------------------------------------------------------------------------------------------

Sebagai seorang muslim, setiap amalan yang hendak dilakukan hendaklah berpandukan al-Quran dan as-Sunnah Rasulullah s.a.w... Mudah-mudahan,,, sambutan hari raya Aidilfitri yang akan menjelma nanti disambut dengan penuh ketaqwaan,,, keikhlasan,,, kemeriahan dan selari dengan perintah Allah S.W.T...

0 Response to "SALAM AIDILFITRI..."

Post a Comment

MANUSIA, HIDUP DAN PERJUANGAN

elyas. Powered by Blogger.
powered by Blogger | WordPress by Newwpthemes | Converted by BloggerTheme