Sembunyikan Sedekahmu...


ALLAH S.W.T bersifat Maha Melihat dan Maha Mendengar, sudah pastinya tiada makhluk yang boleh memberi kesan sama ada memberi mudarat atau manfaat. Sejauh mana ketaatan yang diberikan seorang hamba akan sentiasa diketahui walaupun tersembunyi di sebalik tembok yang kukuh. 

Sudah semestinya seorang hamba yang benar-benar menuntut keredaan-Nya akan cuba sedaya upaya untuk menyembunyikan ketaatan melakukan ibadat khususnya pada perkara yang bersifat sunat.

Namun, perkara wajib seperti solat, zakat dan haji, hendaklah dizahirkan kepada umum kerana meninggikan syariat Allah S.W.T dan menyatakan kekuatan kaum Muslimin menunaikan kehendak agamanya.

Menzahirkan perkara yang wajib juga boleh memberi galakan kepada orang lain melakukan kewajipan kerana semua hamba yang beriman tidak terkecuali daripada menunaikannya sekali gus menghindarkan tohmahan orang lain terhadap kewajipan diabaikan seseorang muslim. 

Jika dirujuk definisi kewajipan membawa maksud menzahirkan dan mengiklankan manakala sunat pula bermaksud tersembunyi serta rahsia. Amalan yang dizahirkan akan melahirkan kegembiraan pelakunya kerana dengan taufik serta inayah Allah S.W.T kita dapat menunaikan kewajipan itu. 

Firman Allah S.W.T yang bermaksud: “Katakanlah (Muhammad) dengan rahmat dan kurniaan Allah hendaklah mereka bergembira. Itu lebih baik daripada apa yang mereka kumpulkan.” (Surah Yunus, ayat 58)

Allah S.W.T menghargai mereka yang melakukan kebaikan walau dengan apa cara sekalipun. Firman-Nya yang bermaksud: “Jika kamu menampakkan sedekahmu adalah baik, tetapi jika kamu menyembunyikannya adalah lebih baik bagimu dan dosamu akan terhapus kerana Allah Maha Mengetahui segala-galanya.” (Surah al-Baqarah, ayat 271)

0 Response to "Sembunyikan Sedekahmu..."

Post a Comment

MANUSIA, HIDUP DAN PERJUANGAN

elyas. Powered by Blogger.
powered by Blogger | WordPress by Newwpthemes | Converted by BloggerTheme