Liga Dunia Islam Mengutuk Filem anti-Islam...

BANGKOK - Liga Dunia Islam mengutuk sekeras-kerasnya filem anti-Islam dan menyeru umat Islam menahan diri daripada menggunakan keganasan dalam menangani isu itu.

Setiausaha Agung liga itu, Profesor Dr Abdullah Al-Turky berkata, hari ini filem sedemikian tidak seharusnya dibuat atas nama kebebasan bersuara kerana ia menjejas keharmonian sejagat.

"Kami mengutuk sekeras-kerasnya filem itu. Ia adalah perbuatan yang tidak boleh diterima," katanya selepas menghadiri Seminar Antarabangsa berhubung Agama dan Proses Perdamaian di Asean, di sini.

Liga Dunia Islam, sebuah badan bukan kerajaan Islam yang berpangkalan di Makkah dan ditubuhkan pada 1962, turut menggesa masyarakat antarabangsa supaya mengutuk filem bertajukInnocence of Muslims yang memutar belit fakta berhubung Nabi Muhammad s.a.w.
Protes terhadap filem itu telah merebak ke lebih 20 negara termasuk Mesir, Tunisia, Lebanon dan Sudan sejak protes filem Innocence of Muslims tercetus empat hari lalu.

Tidak terkecuali gelombang rusuhan turut tercetus di Sydney, Australia, di mana beratus penunjuk perasaan melemparkan botol dan kasut di pekarangan konsulat Amerika Syarikat (AS).

Semrenjak protes protes berlaku, sekurang-kurangnya enam penunjuk perasaan maut termasuk seorang duta Amerika di Libya.

Bagi mengurangkan ketegangan semasa, Abdullah berkata, Islam tidak menggalakkan penggunaan keganasan seperti membunuh dan memusnahkan harta benda sebagai cara menyelesaikan masalah.

Beliau turut diminta mengulas permintaan kenyataan kumpulan yang mahu umat Islam melancarkan lebih banyak serangan terhadap kepentingan Amerika Syarikat.

"Kami menentang sekeras-kerasnya penggunaan sebarang bentuk keganasan," katanya.

Sehubungan itu, Abdullah berharap ketegangan yang berlaku ketika ini tidak berpanjangan kerana keganasan bukanlah satu penyelesaian.

"Dialog dan kerjasama adalah alat yang berkesan dalam menyelesaikan masalah ini," katanya. – Bernama dan AP

0 Response to "Liga Dunia Islam Mengutuk Filem anti-Islam..."

Post a Comment

MANUSIA, HIDUP DAN PERJUANGAN

elyas. Powered by Blogger.
powered by Blogger | WordPress by Newwpthemes | Converted by BloggerTheme